No 8 Jalan 1/4, Seksyen 1, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan. H/p: 013-3845555 Fax: 03-89250891

Monday, February 22, 2010

Diskusi Filem Epik Bernilai Ratusan Juta Dolar Berkenaan Nabi Muhammad S.A.W.

al-Noor Holding, sebuah syarikat yang berpengkalan di Qatar akan menjalankan inisiatif menerbitkan sebuah filem epik dengan modal ratusan juta dolar berkenaan dengan Sirah Nabi Muhammad (s.a.w) bermula dari kelahiran sehingga kewafatan baginda. Pengarah filem Matrix dan Lord Of The Rings, Barrie Osborne yang merupakan pemenang Anugerah Oscar telah diberi kepercayaan menerajui pembikinan filem tersebut yang dijangka memulakan penggambaran pada tahun 2011.

Penerbitan filem tersebut bertujuan untuk memberi penerangan berkenaan Islam dan nabi Muhammad s.a.w. selain membersihkan salah faham yang berlaku terutamanya di barat. Ilmuwan terkenal, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi akan membentuk sebuah komiti yang menghimpunkan beberapa ilmuwan Islam bagi membincangkan pelbagai aspek berkaitan perjalanan sirah dalam filem tersebut. Ini berikutan beberapa isu seperti pengharaman penonjolan imej fizikal RasululLah (s.a.w), menangani Islamophobia, perdebatan berkenaan usia Aisyah sewaktu berkahwin dengan baginda, sensitivi antara mazhab dan versi sirah yang diajar oleh mereka.

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi, usaha ini merupakan salah satu langkah pencerahan berkenaan hakikat nabi yang tidak diketahui oleh ramai individu di barat. Beliau menambah bahawa berbilion manusia hidup dan mati tanpa mengetahui sedikit pun tentang Nabi Muhammad sedangkan ajaran baginda bersifat universal.

Satu seminar berkenaan filem tersebut telah dianjurkan di Qatar dengan mengundang tokoh-tokoh seperti Syeikh Dr. Salman Audah, Dr. Tariq Suwaidan dan Syeikh Ali Qurrah Daghi. Seminar tersebut membincangkan pelbagai aspek seperti kaedah penonjolan watak para sahabat khususnya Khulafa’ ar-Rasyidin, Ummahat al-Mukminin, sepuluh sahabat yang dijanjikan syurga, anak-anak Nabi, tokoh-tokoh besar di kalangan Ahlul Bait dan para sahabat wanita apatah lagi sebelum Islam. Ia turut membincangkan kaedah menggambarkan situasi zaman jahiliyah, bentuk-bentuk kejahatan dan kegilaan, perbuatan menanam anak perempuan hidup-hidup selain cara menjelaskan mukjizat- mukjizat yang berlaku. Di samping itu, ia melibatkan juga kaedah penceritaan alam ghaib, penurunan wahyu, alam jin dan syaitan, alam malaikat serta pembacaan al-Quran oleh pelakon yang membabitkan soal bahasa dan tahap penguasaan tajwid.

Memandangkan pelbagai isu yang timbul, seminar tersebut tidak menghasilkan sebarang keputusan berkenaan mana-mana aspek seperti yang dinyatakan oleh penasihat syariah al-Noor Holdings, Syeikh Akram Kassab. Hanya satu resolusi yang disepakati iaitu kewajipan meneliti aspek-aspek berkaitan dengan lebih berhati-hati dan tidak gopoh dalam menghasilkan keputusan. Menurutnya, filem tersebut berada pada tahap permulaan dan tidak akan dapat diteruskan tanpa penyelesaian syariah yang putus berkenaan dengannya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Akademi Kajian Islam, Syeikh Ali Abdul Baqi menyatakan bahawa persoalan berkenaan filem tersebut tidak diajukan kepada akademi dan mereka tidak mengeluarkan sebarang fatwa berkenaan dengannya. Penerbitan filem tersebut dijangka akan bertembung dengan fatwa terkini yang telah dikeluarkan oleh akademi yang menyatakan pengharaman penonjolan imej fizikal para nabi, para rasul dan para sahabat yang dijanjikan syurga.

Sebelum ini, iaitu pada tahun 2008, Hollywood telah bercadang menerbitkan filem The Messenger Of Peace yang merupakan usaha kedua mereka setelah The Message, filem klasik hasil kerja Moustapha Akkad pada tahun 1977 yang dibintangi oleh Anthony Quinn. The Message telah menerima kecaman pelbagai pihak akibat penonjolan imej para sahabat dan versi sirah yang tidak disepakati.


Qatar Firm Plans Film On Prophet

Islamonline – International Movie On Prophet Muhammad

فيلم عالمي بتمويل قطري عن الرسول

مؤتمر قطر لدراسة فيلم رسول السلام يدعو للتأني

ضجة فقهية تسبق فيلما عن الرسول ... والمجمع يحرم تجسيد الأنبياء

العودة يشارك في إنتاج فيلم احترافي عالمي عن الرسول صلى الله عليه وسلم

Hollywood Aims To Remake Film About The Prophet Of Islam

Kredit to Syeikh Husaini Jamil

No comments:

Disclaimer

Disclaimer
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan pendirian rasmi pengendali laman ini dan DPPKS (Dewan Pemuda Pas Kawasan Serdang) melainkan dinyatakan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...