No 8 Jalan 1/4, Seksyen 1, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan. H/p: 013-3845555 Fax: 03-89250891

Tuesday, February 2, 2010

Risalah Pertama Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin yang baru

Ikhwah dan akhawat yang dimuliakan. Assalamualaikum wr wb. Ini adalah risalah pertama saya yang ditujukan kepada kalian dari kedudukan tanggungjawab saya yang diberikan kepercayaan oleh kamu. Kamu menjadikan saya, orang yang paling berat tanggungannya dari kalangan kita. Kalaulah Abu Bakar As-Siddiq mengucapkan kata-kata kerana tawaduknya beliau, namun saya mengucapkan kata-kata yang sama kerana itulah hakikat yang sebenarnya. “Aku dipilih untuk memimpin kamu, sedang aku bukan yang terbaik dari kalangan kamu. Taatilah aku selagimana aku taat kepada Allah dalam menjalankaan urusan kamu”. Kita semua berpaut dengan Doa. Mudah-mudahan dengan keberkatan Doa, kita menjadi termasuk dikalangan orang-orang yang terbaik yang disebut oleh Rasulullah saw, “Pimpinan-pimpinan kamu yang terbaik ialah mereka yang mendoakan untuk kamu, dan kamu (pula) mendoakan untuk mereka”.

Syura (permesyuaratan), muassasiah (keorganisasian) dan theqah (kepercayaan) adalah tempat ujian ilahi yang begitu teliti dan mendalam kepada jiwa-jiwa ikhwah dan akhawat di semua peringkat. Pada kita, Syura adalah salah satu surah daripada surah-surah di dalam Al-Quran, salah satu fardhu dari fardhu-fardhu Islam, akhlak dan tingkahlaku yang perlu dibiasakan perlaksanaannya disetiap peringkat. Syura juga merupakan penggunaan alat dan cara terkini seperti mengumpul pandangan, pemilihan atau pengundian dalam menentukan giliran memegang jawatan-jawatan kepimpinan.

Dr Mohd Badi’ (kiri) dan Ustaz Mahdi Akef (kanan)

Kalian telah melihat contoh yang ditunjukkan oleh Mursyid Am ke 7, Al-Ustaz Mahdi Akef, yang menjelaskan semua yang disebut diatas dan menguatkan lagi kefahaman dan pengertian, menjawab segala tuduhan dan fitnah ke atasnya dan keatas jemaah Ikhwan Muslimin yang berkat ini. Kami tidak mengeluarkan kenyataan, secara lisan atau tulisan, untuk menjawab kata-kata sesetengah orang terhadap Ikhwan Muslimin mengenai demokrasi. Kata mereka “Ikhwan Muslimin hanya melaungkan demokrasi, tetapi bila mereka mendapat kerusi pemerintahan, mereka langsung tidak akan melepaskan kerusi tersebut. Oleh itu mereka tidak jujur dalam berdemokrasi”.

Kami adalah kaum yang amali. Hanya dengan satu pendirian yang berani (seperti yang ditunjukkan oleh Mursyid Am yang lalu), Allah melontarkan dengannya kearah kebatilan tersebut lalu ia terus lenyap. Banyak sangkaan-sangkaan bahawa peristiwa-peristiwa yang baru berlalu akan menggoyah kestabilan jemaah Ikhwan dan menggoncangkan binaannya. Ramai yang menaruh prasangka yang tidak baik terhadap kami. Namun Alhamdulillah, Rukun Theqah terhadap Qiyadah, terhadap janji kemenangan dari Allah, terhadap penjagaan Allah akan jemaah ini, terhadap sejahteranya Manhaj yang digunakan dan kesahihan pengurusan, kesemuanya adalah pemelihara dari berlakunya fitan (huru hara) dengan izin dan anugerah Allah swt, pembaikpulih dari kesilapan-kesilapan dan penyempurna terhadap apa yang kurang dalam suasana penuh kasih sayang dijalan Allah, tanpa kesemua tersebut mengheret kita kearah perbalahan yang dicela, taasub, sikap memenangkan diri atau menurut hawa nafsu.

albanna

Al-Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna (1906 – 1949), pengasas dan Mursyid Am Pertama Ikhwan Muslimin.

“Wahai Ikhwan, terutama mereka yang bersemangat ingin cepat menang diantara kamu. Dengar dariku kalimat yang tinggi berkumandang dari atas minbar di Muktamar ini. Sesungguhnya Jalan kamu ini telah digariskan fasa-fasanya, telah diletakkan garis panduannya. Aku tidak akan menyalahi garis-garis panduan yang aku amat meyakini bahawa ia adalah Jalan yang paling selamat untuk sampai (ke matlamat). Memang, kekadang ia Jalan yang panjang, tetapi tidak ada jalan yang lain. Kehebatan seseorang akan terpancar melalui kesabaran, teguh, bersungguh dan bekerja tanpa henti. Sesiapa dikalangan kamu yang gopoh ingin memetik buah sebelum masak atau memetik bunga sebelum kembang, maka aku sekali-kali tidak bersama dia. Elok sekiranya dia meninggalkan Dakwah ini dan pergi ke perjuangan-perjuangan lain” (Hasan Al-Banna).

Jika contoh yang baik seperti diatas telah kamu lihat berlaku pada pimpinan kamu, dalam salah satu isu terbesar dan terpenting di dalam Jemaah yang berkat ini (isu pemilihan kepimpinan – pent.), maka wajib keatas kita melaksanakannya ke bawah disetiap peringkat. Contohnya pertemuan kecil ikhwah didalam usrah-usrah, syura menjadi salah satu rukun dalam membina keperibadian Islam yang bebas dalam memberikan pandangan dan nasihat demi mendapat keredhaan Allah. Tidak mungkin individu-individu yang tidak mempunyai kebebasan pandangan akan dapat pula membebaskan tanahair mereka. Sesungguhnya pembebasan tanahair dari sebarang kekuasaan asing diaspek ketenteraan, politik, ekonomi maupun ideologi adalah diantara objektif-objektif Ikhwan yang terpenting. Tidak akan berlaku pembebasan tanahair melainkan dengan berlakunya pembebasan manusia atau kemanusiaan terlebih dahulu. Oleh itu, marilah kita mulakan dengan diri kita sendiri. Marilah kita mempraktikkan Syura disetiap peringkat. Ia memerlukan latihan, kesabaran dalam mendengar pandangan orang lain dan memerlukan nasihat yang merupakan intipati Agama. Nasihat kena kepada pimpinan umat Islam sebelum mengenai pengikut dan rakyat jelata.

Marilah kita berusaha mencapai (harapan Mursyid Am lalu) “tajdid Ad-Damm” (injecting new blood) dengan cara melatih para pelapis kepimpinan, seperti menyediakan 3 lapis barisan yang bakal menerajui kepimpinan dimasa akan datang. Didalam satu hukum syarak yang khusus menyatakan bahawa menyediakan seorang kanak-kanak yang baru ditahap mumayyiz mengharuskannya dia menjadi imam solat walaupun dia belum mukallaf. Ini menarik perhatian kita kearah menyediakan kepimpinan melalui ibadah yang merupakan suatu yang mesti kita gariskan prosesnya, seperti kata Al-Ustaz Hasan Al-Banna rahimahullah, “Kamu jadilah hamba sebelum ketua, nescaya ibadah itu akan membawa kamu mencapai sebaik-baik kepimpinan”. Sesetengah orang yang berpandangan bahawa kestabilan tidak akan tercapai melainkan dengan jumud (beku) dan tidak mengadakan perubahan,padahal badan yang sihat dan baik ialah badan yang darahnya mengalir dan sel-sel sentiasa diperbaharui. Adapun jika darah berhenti mengalir dan sel-sel berhenti dari menjadi aktif, maka ini bukan kestabilan namanya. Ini adalah sakit menuju kematian, mohon dijauhkan Allah.

Inilah jemaah kamu, dengan anugerah Allah pada hari ini muncul dalam keadaan lebih sihat, lebih kuat dan mara dengan penuh azam untuk bergerak diatas Jalan yang sama, diatas prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang dicedok dari Al-Quran dan As-Sunnah oleh pengasasnya Imam Hasan Al-Banna, dituang oleh Mursyid-mursyid Am yang terdahulu. Mereka yang sabar dari kalangan anggota Jemaah lelaki dan wanita telah mengorbankan apa yang mereka miliki agar Dakwah Allah ini terus kekal dan menjulang panji-panjinya, izzah (agung) lagi menyebarkan kebaikan keseluruh pelusuk negara. “Dan keagungan itu adalah milik Allah, RasulNya dan orang-orang beriman” (Surah Al-Munafiquun:8). Allah Maha Besar dalam berhadapan dengan segala kesukaran. Segala pujian adalah milik Allah mengatasi semua keadaan dan dalam semua keadaan.

Wassalamualaikum wr wb.

Dr Mohd Badi’ Abd Majid Saamy,

Mursyid Am Ikhwan Muslimin.

Kredit penterjemahan kepada Ustaz Halim www.inijalanku.wordpress.com

No comments:

Disclaimer

Disclaimer
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan pendirian rasmi pengendali laman ini dan DPPKS (Dewan Pemuda Pas Kawasan Serdang) melainkan dinyatakan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...