No 8 Jalan 1/4, Seksyen 1, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan. H/p: 013-3845555 Fax: 03-89250891

Wednesday, August 11, 2010

MENUJU RAMADHAN YANG BERKUALITI & CEMERLANG

(Disediakan oleh: Ust Ahmad Asri Lubis)

Bulan Ramadhan adalah satu peluang emas yang sangat mahal. Beginilah seharusnya sikap dan keyakinan penganut Islam. Demikianlah sikap dan kepercayaan golongan salaf yakni generasi awal radhialllahu ‘anhum. Bagi mereka Bulan Ramadhan bukan hanya semata-mata salah satu bulan di antara bulan yang duabelas. Malahan bulan yang mulia ini menempati tempat yang istimewa di hati mereka. Hal ini terbukti dari peristiwa yang mereka lakukan untuk menanti-nanti bulan Ramadhan, penghormatan mereka terhadap bulan mulia ini, dan munajat mereka kepada Allah agar usia mereka dilanjutkan hingga ke bulan Ramadhan (yang dinanti-nanti kedatangannya). Hal ini adalah kerana hamba mukmin menyedari keutamaan, kemuliaan dan kedudukan bulan mulia ini di sisi Allah swt. Ikutilah apa yang pernah dikatakan oleh Ma’la bin Fadhal, katanya “Generasi awal (yakni para sahabat Rasul saw) berdoa kepada Allah selama enam bulan (sebelum bulan Ramadhan) agar usia mereka dilanjutkan hingga ke bulan Ramadhan. Kemudian setelah (bulan Ramadhan) mereka berdoa selama enam bulan lagi agar Allah menerima ibadat yang telah mereka lakukan di bulan Ramadhan”. Yahya bin Abi Kastir berkata “Termasuk doa generasi awal ialah

اَللَّهُمَّ سَلِّمْنِي إِلَى رَمَضَانَ ، اَللَّهُمَّ سَلِّمْ لِي رَمَضَانَ ، وَتُسَلِّمُهُ مِنِّي مُتَقَبَّلاً

“Ya Allah, serahkanlah diriku kepada bulan Ramadhan. Ya Allah serahkanlah kepadaku bulan Ramadhan. Terimalah Ramadhan daripadaku dengan penerimaan yang baik”.

Doa agar dilanjutkan usia hingga bulan Ramadhan (yang ditunggu-tunggu); dan persiapan untuk menanti kedatangan bulan Ramadhan adalah salah satu sunnah dan amalan Rasulullah saw. Imam Thabarani meriwayatkan daripada Anas ra, daripada Rasulullah saw, bahawa apabila Baginda memasuki bulan Rejab, Baginda berdoa:

اَللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ

“Ya Allah, berilah kami keberkatan di bulan Rejab dan Sya’ban. Dan lanjutkanlah usia kami hingga ke bulan Ramadhan”.

Aisyah, Ummul Mukminin radhallahu ‘anha mengkisahkan perihal Rasulullah saw dan persiapan Baginda untuk menyambut bulan Ramadhan, beliau berkata “Terkadang Baginda puasa sebulan penuh di bulan Sya’ban. Terkadang Baginda tidak puasa pada bulan Sya’ban melainkan beberapa hari sahaja”.

* * *

Demikianlah serba sedikit mengenai persiapan dan sambutan generasi awal terhadap bulan Ramadhan. Sekarang bagaimana pula dengan persiapan yang sepatutnya kita lakukan ?.

Saudara, saya telah cuba menghimpunkan beberapa pendapat yang menurut hemat saya sangat penting sekali (kita terapkan) untuk menyambut bulan Ramadhan. Boleh jadi ada pendapat lain yang lebih utama daripadanya. Akan tetapi buah fikiran saya ini adalah hidayah dan petunjuk daripada Allah. Harapan saya semoga Allah memberi saya dan anda manfaat daripadanya. Gagasan yang dimaksudkan ialah:

q Mengikhlaskan dan memperbetulkan niat.

q Melakukan taubat dengan betul.

q Memanfaatkan masa dengan tepat.

q Membaca dan mempelajari hukum hakam puasa.

q Mengurangkan makanan setakat yang boleh.

q Melatih diri melakukan puasa, qiyamullail, membaca Al-Quran, zikir dan sedekah.

I. Niat Yang Ikhlas

Di antara persediaan dan persiapan untuk menyambut bulan Ramadhan, bahawa anda hendaklah memiliki keazaman [1] menta’mirkan dan menyemarakkan bulan Ramadhan dengan berbagai perbuatan taat; [2] mempertingkatkan kebaikan; [3] menjauhi segala kejahatan; [4] dan berusaha dengan maksimum untuk meraih keuntungan dari setiap saat yang berlalu dalam bulan Ramadhan dalam perkara yang diredhai Allah swt.

Sebenarnya keazaman ini sangat mustahak kerana hamba mukmin tidak tahu bilakah ia akan mati atau bilakah ajalnya akan tiba. Seandainya usianya telah habis dan ketentuan Allah telah ditetapkan-Nya, dimana roh hamba kembali ke hadrat Allah swt, maka niat dan keazamannya (yang ikhlas) tersebut akan menempati kedudukan amal ibadatnya. Allah swt akan memberi hamba ganjaran berdasarkan keikhlasan niat. Dengan keazaman ini ia akan memperoleh ganjaran meskipun ia belum melakukan amal ibadat yang telah diniatkannya itu.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas ra (bahawa Rasulullah saw) bersabda

“Sesungguhnya Allah telah menetapkan kebaikan dan kejahatan, kemudian Allah menerangkan (peraturan-peraturan-Nya). Sesiapa yang berazam melakukan kebaikan, tapi ia belum sempat melakukannya, Allah swt tetap menuliskan untuknya satu kebaikan yang sempurna ”. Hadis riwayat Bukhri-Muslim.

Baginda pernah berkata mengenai peristiwa Perang Tabuk “Terdapat sekumpulan jemaah yang kita tinggalkan di Medinah, dimana setiap kita menempuh lorong dan lembah mereka tetap berada bersama kita, (kerana) mereka hanya terhalang disebabkan keuzuran tertentu (seperti faktor kewangan, kesihatan, keluarga dan lain-lain)”. Hadis riwayat Bukhari.

Kita sendiri tahu orang-orang yang bersama kita pada bulan Ramadhan yang lalu, pada tahun ini mereka sudah tidak ada lagi bersama kita. Berapa banyak orang yang berhasrat melakukan puasa pada bulan Ramadhan di tahun ini, akhirnya mereka tidak dapat memenuhi harapannya kerana mereka telah barada dalam kegelapan alam kubur sebelum datangnya bulan Ramadhan. Berapa banyak orang yang menanti-nanti hari atau peristiwa tertentu ia tidak dapat menyaksikan dan menikmatinya ? Berapa banyak orang yang mendambakan masa “hadapan” ia tidak mampu mendapatinya. Sebenarnya jika anda benar-benar melihat “ajal” atau kematian dan faktor penyebabnya, niscaya anda benci terhadap sikap suka berangan-angan (kosong) dan perdaya angan-angan. Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah berpidato di khalayak ramai, katanya “Sesungguhnya kamu tidak diciptakan Allah dengan sia-sia, kamu tak akan dibiarkan saja sedemikian rupa. Kamu mempunyai hari berbangkit di mana Allah swt sendiri akan turun di saat itu untuk menentukan balasan dan hukuman di antara hamba-hamba-Nya. Sungguh merugilah orang yang terkeluar daripada rahmat Allah yang meliputi segala sesuatu, dan merugilah orang yang tidak memperoleh syurga yang luasnya seperti langit dan bumi. Tidak kah kamu sedar bahawa anda berada di dalam himpunan orang-orang yang akan meninggal dunia; akhirnya segala-galanya akan diwarisi oleh orang lain; dan kamu akan dikembalikan kepada Allah swt. Anda setiap hari menyaksikan orang yang kembali ke rahmatullah kerana ajal dan usianya telah habis, anda menyaksikan kepergiannya. Lalu ia dimasukkan ke dalam lubang bumi tanpa bantal dan hamparan; ia telah meninggalkan segala kenikmatan, berpisah dengan kekasih, bertempat tinggal di dalam tanah; dan akan menghadapi hari berhisab. Dari itu, wahai hamba yang terperdaya dengan angan-angan yang panjang; yang berasa selesa dan gembira dengan amal kejahatan, anda hendaklah menaruh takut akan mati, kerana anda tidak tahu bilakah ajal anda akan datang menyerang”.

Periksalah niat anda, periksalah keazaman anda dan periksalah keikhlasan anda.

“Sekiranya mereka memang bermaksud keluar (pergi) niscaya mereka akan mempersiapkan perlengkapan” (Surah Al-Taubah, 46).

“Sekiranya mereka bersikap benar dan jujur terhadap Allah, niscaya adalah lebih baik bagi mereka”. (Surah Muhammad, 21).

* * *

II. Taubat Yang Murni

Taubat ini sebenarnya wajib dilakukan pada setiap waktu; dan di setiap melakukan dosa. Bahkan pada masa (menjelang Ramadhan) ini taubat adalah lebih penting dan lebih wajib. Kerana anda akan memasuki bulan yang mulia. Pelaku dosa dan maksiat tidak diberi “taufiq” melakukan ketaatan, dan tidak layak mendekatkan diri kepada Allah. Kerana di antara resiko negatif dosa ialah hamba terdinding dari rahmat dan hidayah Allah; dan ia terhina dan memperoleh khizlan. [“Khizlan” : adalah lawan taufiq, yakni bahwa Allah swt tidak memberi anda bimbingan dan ‘inayah. Bahkan anda terbiar di bawah kemahuan diri anda sendiri]. Belenggu dosa akan mencegah hamba dari menempuh jalan ketaatan. Bebanan dosa menghalang hamba dari merasa “ringan” berbuat kebaikan dan dari bersegera melakukan ketaatan. Anda dapati hati hamba tersebut diliputi kegelapan; hatinya kasar, keras, gersang dan jauh dari Allah swt. Bagaiman hamba seperti ini boleh diberi taufiq melakukan ketaatan; atau bagaimana ia layak berbakti kepada Allah; bagaimana ia boleh diterima bermunajat sedang ia berlumuran kotoran dan najis dosa?. Para pelaku dosa yang berterusan bergelimang dalam dosa tidak akan diberi taufiq dalam berbuat taat. Jika ia melakukan ketaatan juga, ia akan melakukannya dengan bersusah payah; tidak merasakan kemanisan dalam beribadat. Tidak ada kelazatan; tidak ada kemurnian; tidak merasa “jinak” (dalam bermunajat) dan tidak ada keceriaan. Bahkan ia diliputi penderitaan dan kesusahan. Hal ini adalah disebabkan risiko atau bahaya dan kesan-kesan “dosa”.

Generasi awal pernah mengatakan “Aku terhalang dari melakukan qiyamullail selama satu tahun hanya disebabkan satu dosa yang kulakukan”.

Pernah orang mengadukan perihal mereka kepada Imam Hasan Basri “Kami tidak mampu melaksanakan qiyamullail”. Beliau menjelaskan “Kamu dibelenggu dosa-dosa kamu sendiri”.

Hamba wajib melakukan taubat nasuha dengan memenuhi persyaratannya, termasuk mengembalikan segala hak kepada pemiliknya; serta menyatakan sikap iftiqar (sikap di mana hamba sentiasa tetap memerlukan Allah) dan menyatakan hajat dan keperluan kepada Allah swt (Yang Maha Gagah lagi Maha Pengampun). Hamba hendaklah membuktikan keinginan dan kemahuannya dengan cara berdoa dengan baik, beristighfar tanpa jemu, meminta dengan nyinyil dan dengan merendah diri kepada Allah agar ia layak diterima di sisi-Nya. Dan agar anda dijadikan-Nya ke dalam golongan hamba yang diterima Allah taubatnya sebelum Ramadhan; dan agar anda tergolong ke dalam orang yang dibebaskan Allah di akhir bulan Ramadhan dari neraka.

Dewasa ini, permasalahan tadarru’ (bermunajat dengan khusyuk dan merendah diri) dan iftiqar (sikap di mana hamba sentiasa tetap memerlukan Allah), dan bermunajat di hadapan Allah dengan penuh rasa ketergantungan dan merendah diri, permasalahan ini telah hampir lenyap. Kebanyakan hamba menduga bahawa apabila seseorang mengatakan astaghfirullah atau rabbighfirli, Allah mesti menerima doanya. Akan tetapi permasalahan ini jauh lebih berat dan besar dari apa yang diduganya. Adalah merupakan kemestian ke atas hamba membuktikan kemurnian dan keseriusan doa dan permintaannya. Kejujuran dan kemurnian doa dan permohonannya dibuktikan melalui:

§ sikap gigih tanpa jemu;

§ permohonan yang berterusan;

§ istighfar yang banyak.

* * *

Di antara faktor yang mendorong hamba mukmin meningkatkan dan menggiatkan munajat, doa dan ibadatnya kepada Allah (menjelang Ramadhan dan di bulan Ramadhan) bahawa anda perlu ingat jika taubat anda tidak diterima Allah pada bulan suci ini dan Allah tidak menerima amal ibadat anda, ini bererti taubat dan ibadat anda boleh jadi tidak akan diterima Allah buat selama-lamanya. Anda jangan merasa aneh dalam hal ini. Kerana dalam satu hadis yang diriwayatkan Jabir bin Samurah ra Rasulullah saw bersabda “Saya pernah didatangi Jibril ia lalu berkata “Wahai Muhammad barangsiapa yang mendapati salah seorang ibubapanya lalu ia meninggal dunia dan dimasukkan ke dalam neraka (disebabkan kedurhakaannya), ia adalah terjauh dari (rahmat) Allah. (Jibril) berkata, sebutlah “Amin!”. Aku pun berkata “Amin !”. Wahai Muhammad, barangsiapa yang mendapati bulan Ramadhan, lalu ia meninggal dunia, tidak diampunkan dosanya, ia dimasukkan ke dalam neraka, dan ia terjauh dari (rahmat) Allah. (Jibril) berkata, sebutlah “Amin !”. Aku pun berkata “Amin !”. Wahai Muhammad, barangsiapa yang disebutkan orang namaku di sisinya, lalu ia tidak berselawat ke atasku, kemudian ia meninggal dunia dan terjauh dari rahmat Allah, dan dimasukkan ke dalam neraka. (Jibril) pun berkata, sebutlah “Amin !”. Aku pun berkata “Amin!”. Hadis riwayat Thabarani, Al-Albani mengatakannya hadis sahih.

Dalam peristiwa di atas ini, Jibril berdoa dan Nabi Muhammad saw mengaminkannya. Apakah anda menduga bahawa ia akan ditolak oleh Allah?. Hal ini bukan dianggap satu keanehan, kerana Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya terdapat peluang emas yang paling unik sekali penuh dengan rahmat, keampunan. Faktor-faktor dan penyebab rahmat dan keampunan cukup banyak. Sahabat handai dan sanak saudara yang merangsang berbuat taat sangat banyak. Pintu-pintu syurga terbuka, tak satu pun yang tertutup. Pintu-pintu neraka tertutup, tak satu pun yang terbuka. Para ketua syaitan dibelenggu. Allah membebaskan hamba-Nya setiap malam dari neraka. Sesiapa yang tidak mendapat rahmat dalam suasana faktor-faktor yang banyak ini, bilakah lagi ia akan beroleh rahmat?. Sesiapa yang tak layak beroleh keampunan di bulan yang mulia ini bilakah lagi ia berkelayakan ? Sesiapa yang tidak dapat dibersihkan oleh lautan rahmat dan keampunan ini apakah lagi yang akan dapat membersihkannya.

Apabila taman atau kebun masih tetap gersang di musim bunga,

Di musim apakah ia akan bersinar dan jadi subur ?

* * *

III. Mengambil Berat Mengenai Masa

Masa adalah kehidupan anda. Masa juga adalah modal anda dalam menjalankan “perniagaan” dengan Allah swt (kehidupan keagamaan diibaratkan laksana perniagaan). Dengan perantaraan “masa” anda dapat mencari kebahagiaan. Setiap masa yang berlalu tanpa diisi dengan amal saleh, hamba akan kehilangan kebahagiaan sesuai menurut ukurannya. Oleh itu generasi salaf ra sekali-kali tidak mahu mengabaikan masa sedikit juga pun. Pernah orang berkata kepada ‘Amir bin Qais “Berhenti dulu, aku ingin bercakap dengan anda”. Beliau lalu menjawab “Seandainya saya sudah dapat tahu awal, saya ingin bicara dengan anda”. Lelaki yang bertanya itu pun berkata “Apa yang anda ingin tahu awal tersebut ?”. Jelas ‘Amir “Saya dapat tahu awal mengenai akhir ajalku”. Memang benar apa yang dikatakan ‘Amir ini. Kerana “masa” tidak semestinya tetap memihak kepada kita buat selama-lamanya. Ia adakalanya jadi teman setia yang mengasihi anda, mendatangkan kemanfaatan dan kegembiraan buat anda. Ia terkadang jadi musuh yang kejam pencipta kesedihan dan kemudratan ke atas anda. Anda sebenarnya adalah himpunan hari-hari yang telah ditetapkan. Jika berlalu satu hari sebahagiaan daripada anda turut pergi.

Sesungguhnya kita berasa gembira dengan hari-hari yang kita tempuh,

padahal setiap hari yang berlalu mendekatkan anda kepada ajal.

Ibnul Jauzi berkata “Sepatutnya manusia menyedari kemuliaan dan nilai masa yang dimilikinya. Ia jangan sekali-kali membuang masa walau sesaat jua pun dalam perkara yang bukan mendekatkan diri kepada Allah”.

Ali bin Abi Thalib berkata “Sisa usia seseorang adalah hartanya yang mahal. Dengannya ia dapat mengejar ketinggalannya; dan dengannya juga ia dapat memperbaiki apa yang dirosak-rosakkannya selama ini”.

* *

Penyair bermadah,

Jika modal anda adalah usia, maka jagalah ia dengan baik,

Anda jangan mempergunakannya kepada yang tidak perlu.

Hasan Basri berkata “Saya telah mendapat pengajaran dari beberapa perkataan yang pernah saya dengar daripada Al-Hajjaj. Saya pernah mendengar beliau berkata “Jika hilang satu saat dari usia seorang hamba dalam perkara yang tidak diredhai Allah, ia pasti mengalami penyesalan yang berlarutan pada hari kiamat”.

Ramadhan adalah di antara episod usia yang paling mahal. Di antara faktor yang mendorong hamba agar tidak mengabaikan sekejap mata jua pun dari masanya di bulan Ramadhan ialah bahawa ia hendaklah ingat bahawa Allah menyatakannya sebagai “beberap hari tertentu” (أياما معدودات) . Ungkapan ini menunjukkan bahawa hari-hari yang dimaksudkan hanya sedikit sahaja. Ia akan berakhir dengan pantas. Memang beginilah hari yang dianggap mahal dan berkualiti atau musim-musim utama, akan berlalu dengan cepat sekali. Orang yang berjaya meraih keuntungan dalam bulan Ramadhan adalah mereka yang melakukan persediaan untuk merebutnya; dan mereka yang betul bersiap siaga menuju bulan suci ini.

Apabila hamba menyedari betapa singkatnya masa pada bulan Ramadhan, ia akan tahu bahawa kepenatan amal ketaatan akan hilang dengan pantas. Akan kekallah baginya pahala dan segala perkara yang berhubung kait dengannya termasuk ketenangan hati, kelapangan dada dan kegembiraan hamba dengan melakukan ketaatan terhadap Allah swt.

Berapa banyak kesusahan dan kepenatan yang dialami hamba semasa berbuat ketaatan, akhirnya keletihannya hilang sedemikian rupa, ganjarannya kekal disisi Allah dengan izin-Nya. Berapa banyak pula masa yang dipergunakan untuk “hiburan” (?) dan permainan, akhirnya keseronokannya hilang lenyap, kesan dan risikonya akan tinggal. Nabi Muhammad saw pernah bersabda “Penghuni syurga tidak mengalami penyesalan kecuali terhadap “masa” yang mereka lalui tanpa mengingat Allah di dalamnya”.

Penyair bermadah,

Ketahuilah, masa berzikir adalah harta kekayaan,

Masa berhibur adalah penyebab muflis dan kemiskinan.

* * *

IV. Mengurangkan Makanan

Mengurangkan makanan adalah di antara matlamat puasa, yakni di antara tujuan Ramadhan adalah agar hamba melatih diri mengurangkan makanan, untuk memberi peluang perut berehat dan memberi peluang jiwa untuk berbuat taat. Kerana makan yang berlebihan adalah di antara faktor utama yang menyebabkan hati jadi kasar dan keras, di mana akhirnya hati laksana batu, dan menyebabkan jiwa dan nafsu berat berbuat taat, ia juga menyebabkan hamba kurang bermotivasi dalam bermunajat di hadapan Allah.

(Orang yang tidak menghayati faedah puasa semasa berbuka atau sungkai dan di malam hari) akan memenuhi perutnya dengan bermacam-macam makanan, minuman, kueh-muih dan sebagainya. Akhirnya perutnya membesar. Ia ingin turut serta melakukan solat berjamaah. Dalam solat ia sibuk memikirkan bebanan berat dan bencana yang berada dalam perutnya dan solat Taraweh. Yakni bagaimana cara mengatasinya. Pemikirannya tertumpu agar imam dengan segera mungkin menyelesaikan solatnya, supaya ia dapat berehat meletakkan bebanan isi perutnya yang sarat. Setiap ayat yang didengarnya dibaca imam sangat menyusahkannya. Orang yang begini halnya adalah berada dalam peperangan yang sengit, bukan berada dalam solat dan munajat.

Adapun hamba yang benar-benar ingin merasakan kenikmatan solat, ia tidak akan makan terlalu banyak, malahan ia akan mengurangkan makanan.

Perlu diketahui dan diingat oleh orang yang ingin memperoleh manfaat dan faedah ibadat dan faedah munajat di bulan Ramadan, bahawa (di antara hikmat) mengurangkan makan ialah:

§ Menyebabkan hati jadi halus dan peka.

§ Memperkuat dan mempertajam daya kefahaman.

§ Menundukkan dan menjinakkan nafsu.

§ Menundukkan syahwat dan kemarahan.

Muhammad bin Wasi’ berkata “Sesiapa yang makan sedikit ia akan dapat:

§ Memiliki daya kefahaman yang baik

§ Mampu memberi kefahaman kepada orang lain

§ Memiliki fikiran jernih

§ Memiliki kehalusan hati

sesungguhnya makan yang berlebihan akan menghalang hamba dari mencapai berbagai perkara yang diingini dan didambakannya”.

Salamah bin Sa’id berkata “Generasi awal Islam sangat mencela orang yang memiliki perut yang besar, sama halnya dengan orang yang melakukan sesuatu dosa dan kesalahan”.

Pernah seorang lelaki bersendawa di samping Rasulullah saw, Baginda lalu berkata “Jangan lah anda memperdengarkan sendawa anda kepada kami, kerana orang yang paling lama merasa kenyang di dunia ialah orang yang paling lama lapar di hari kiamat”. H R Tirmizi.

* * *

V. Mempelajari Hukum Hakam Mengenai Puasa

Yakni mempelajari hukum hakam dan adab berpuasa. Supaya hamba dapat menyelenggarakan puasa menurut cara yang diredhai Allah. Agar ia layak beroleh balasan dan pahala, dan layak memperoleh buah yang diinginkannya dan mutiara berharga iaitu “ketaqwaan”. Berapa banyak orang yang puasa akan tetapi tidak ada nilai puasanya di sisi Allah. Disebabkan kejahilannya mengenai syarat-rukun puasa, adab berpuasa dan kewajipan yang mesti dilakukannya semasa berpuasa. Berapa banyak orang yang wajib berbuka disebabkan penyakit berbahaya atau keuzuran menurut agama akan tetapi ia masih berpuasa kerana kejahilannya lalu ia berdosa disebabkan ibadah puasa. Maka adalah satu kemestian mempelajari selok-belok dan hukum hakam puasa. Hal ini adalah fardu ain dan wajib ke atas orang yang wajib malaksanakan puasa.

* * *

VI. Melatih Diri Melakukan

v Puasa

Terdahulu disebutkan bahawa Rasulullah saw terkadang berpuasa sebulan Sya’ban dan adakalanya Baginda berpuasa sebahagian Sya’ban sahaja. Hal ini adalah sangat mustahak sekali untuk membiasakan diri melakukan puasa sehingga apabila datang bulan Ramadhan anda telah bersiap siaga melakukan puasa tanpa sebarang kususahan dan kepenatan yang akan menghalanginya dari melakukan amal ibadat dan yang akan menghalangi hamba dari memperbanyak ibadat.

v Qiyamullail

Qiyamullail adalah satu cara hidup atau sunnah yang mulia dan utama yang diabaikan umat dewasa ini. Ia adalah satu kelazatan yang luar biasa yang belum kita nikmati. Malahan ia adalah satu taman syurga mukmin dalam dunia ini, akan tetapi sungguh sangat sayang sekali kita belum cuba memasuki dan menyaksikannya. Qiyamullail adalah satu madrasah tempat melatih dan mendidik jiwa; dan tempat membersihkan hati dan melatih serta mendidik akhlak dan budi pekerti barisan para salihin. Ia adalah satu amal ibadat yang cukup berat, dan perjuangan yang hebat yang tidak mampu melakukannya kecuali para perwira barisan lelaki dan ahli ibadat barisan wanita. Yakni barisan para ahli kesabaran dan ahli yang memiliki kejujuran yang ulet… yang bermujahadah pada waktu sahur.

Qiyamullail adalah merupakan satu amalan yang telah diwasiatkan Rasulullah agar kita kerjakan. Ia adalah amalan para salihin generasi awal. Sabda Baginda “Kamu hendaklah melakukan Qiyamullail, kerana ia adalah

§ satu sunnah barisan salihin sebelum kamu;

§ ia adalah salah satu cara untuk menghampirkan diri kepada Allah swt;

§ amalan yang dapat mencegah hamba dari dosa dan maksiat;

§ ia akan menghapuskan segala dosa dan kejahatan;

§ dan ia akan mengusir dan mencegah penyakit dari jasad”. Hadis riwayat Imam Tirmizi.

Qiyamullail adalah di antara beberapa pintu utama rahmat dan kebajikan, sepertimana yang terdapat dalam hadis Mu’az, beliau berkata “Saya pernah bersama Rasulullah saw dalam satu perjalanan. Lalu saya mengahampiri Baginda dan berkata “Wahai Rasulullah, tunjukkan lah aku satu amalan yang akan memasukkan aku ke syurga”. Baginda berkata “Anda telah bertanya satu perkara yang besar.. .. Mahukah anda ku tunjukkan beberapa pintu kebaikan?. Puasa adalah perisai; sifat sabar adalah cahaya penerang; sedekah adalah sebagai bukti (di hadapan Allah); dan solat (Qiyamullail) yang dilakukan seseorang di tengah malam (adalah penghapus dosa). Kemudian Baginda membaca ayat berikut “Lambung mereka (golongan mukmin) jauh dari tempat tidurnya (mereka beribadat atau qiyamullail di waktu sahur), sedang mereka berdo`a kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Seorangpun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu (bermacam-macam ni`mat) dari perkara yang mereka sukai sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan”. (Surah Al-Sajadah, 16-17).

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda “Seafdal-afdal puasa setelah Ramadhan adalah puasa pada bulan Muharram. Dan seafdal-afdal solat setelah solat fardu adalah Qiyamullail”. Hadis riwayat Imam Muslim.

Melatih dan membiasakan diri melakukan Qiyamullail adalah sangat penting sekali sebelum dan sesudah Ramadan. Qiyamullail ini adalah satu perkara yang sangat mustahak sekali dilakukan oleh setiap individu, terutama sekali para da’i dan ulama. Di dalam Qiyamullail terdapat berbagai rahsia yang dapat membuka dan menyelesaikan berbagai kerumitan yang terdapat dalam hati. Dan dapat mengungkai bermacam-macam belenggu yang meliputi hati. Lalu akan turunlah berbagai curahan rahmat dan keberkatan. Dan terbukalah ke atas hamba bermacam-macam pintu kefahaman dan keilmuan yang tidak dapat mengetahuinya melainkan Allah sahaja. Sesiapa di antara hamba yang keluar (tamat) dari “Madrasah Qiyamullail” ia akan mampu mengubah dan mempengaruhi generasi yang akan datang sesudahnya hingga jangka masa yang tidak ada batasnya. Sesiapa yang ketinggalan atau tidak memasuki “Madrasah Qiyamullail” hati orang yang memandangnya akan jadi keras dan kasar.

Basyar Al-Hafi pernah berkata “Cukuplah bagi anda (sebagai bukti) bahawa terdapat dikalangan orang yang telah mati, hati hamba akan hidup dengan mengenang dan mengingat mereka. Dan (sebaliknya) terdapat dikalangan orang yang masih hidup, hati hamba akan mati bila menatap wajah mereka”. Dari itu wahai saudara yang dikasihi, anda hendaklah bermujahadah yakni bekerja keras dan berusaha dengan gigih dan ulet melawan kehendak nafsu agar anda dapat melakukan Qiyamullail atau solat tahajjud. Pada mulanya cubalah lakukan dulu dua rakaat. Kemudian tambah lah secara berangsur-angsur. Sehingga hijab di hati anda terbuka. Dan datang curahan rahmat Allah swt, Amin!!!.

v Memperbanyak membaca Al-Quran

Bulan Ramadhan adalah bulan Al-Quran. Al-Quran memiliki keistimewaan yang khusus di bulan mulia ini. Rasulullah saw mempelajari Al-Quran bersama Jibril di setiap malam di bulan Ramadhan sepertimana yang terdapat dalam hadis Abdullah bin Abbas ra. Baginda juga memperbanyak membaca Al-Quran semasa solat di bulan Ramadhan sepertimana yang terdapat dalam hadis Huzaifah ra. Demikian juga generasi salaf dan barisan ulama sangat memberikan keutamaan kepada Al-Quran pada bulan mulia ini.

v Zikir & Sedekah

Sepatutnya hamba mukmin membiasakan diri malakukan zikir dan sedekah sebelum mamasuki bulan suci Ramadhan agar ia dapat melakukannya dengan mudah dan bermotivasi bila sudah berada di bulan Ramadhan.

* * * * *

203, Blok 3, Jln 2/4F,

43650 Bandar Baru Bangi,

Selangor DE

29 Syaaban 1431

10 Ogos 2010


No comments:

Disclaimer

Disclaimer
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan pendirian rasmi pengendali laman ini dan DPPKS (Dewan Pemuda Pas Kawasan Serdang) melainkan dinyatakan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...