No 8 Jalan 1/4, Seksyen 1, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan. H/p: 013-3845555 Fax: 03-89250891

Friday, August 20, 2010

TAUBAT SEORANG PEJUANG

Masih terngiang - ngiang di telinga saya , perkataan yang pernah dipopularkan oleh al Imam Hassan al Hudhaibi . Perkataan ini sering diulang - ulang oleh naqib saya Syeikh Ahmad Laasyin ( beliau pernah dipenjara bersama Asy Syahid Syed Qutb Rhm ) , dulunya beliau adalah Imam Masjid Syahid di Tanta .

Saya lekatkan banner perkataan tersebut di dinding rumah saya sewaktu menginap di Syari' al Hulwa berhadapan dengan Madrasah Jil Muslim lil Banat di Tanta satu masa dulu . Masih segar pastinya dalam ingatan ini bersama rakan - rakan seperjuangan yang sangat menghayati makna dan maksud perkataan tersebut.

Perkataannya ringkas tapi nyata ia cukup besar maknanya bagi diriku sebagai seorang pejuang . Ianya bagai satu energy yang cukup luar biasa bagi diri saya sewaktu meredah segala cabaran dan merempuh segala halangan untuk berjaya mencapai status seorang pejuang.

Juga masih dalam ingatan ini , sewaktu kami para nuqaba' menjalani terapi muhasabah di satu subuh yang hening . Naqib saya masa tu Ust. Musthafa Saari dibantu Ust. Zulqarnain Hassan telah membuat dua garis . Satu garis permulaan dan satu lagi garis akhir . Jarak antara garis mula dengan garis akhir sekitar 10 kaki ( lebih kurang 20 tapak ) .

Kami lebih kurang 12 orang ( kalau tak salah ingatan saya ) berbaris digaris mula dengan arahan supaya memberi fokus kepada setiap tapak yang akan kami lakukan menuju ke garis akhir . Itu pun kalau setiap aktiviti dan amal Islami yang dibacakan oleh Naqib satu persatu dengan penuh tertib telah dilakukan oleh kami secara jujur dan benar .

Setiap amal dan aktiviti yang tidak kami lakukan , pastinya ia mematikan langkah kami . Ada 20 amal dan aktiviti yang dibacakan oleh Naqib dan memadai dengan 20 langkah untuk kami sampai ke garis akhir dengan satu amal yang dilaksana bersamaan satu langkah .

Ayat tema kepada terapi muhasabah ini adalah perkataan yang saya maksudkan tadi :

أقيموا دولة الإسلام في قلوبكم تقم على أرضكم

Tegakkanlah Negara Islam di dalam diri kamu
nescaya ia akan tertegak di atas tanahair kamu.

Terapi Muhasabah yang Menginsafkan

Dipertengahan jalan menuju ke garis akhir , nyata waktu itu saya agak terkebelakang berbanding sahabat - sahabat yang lain seperti meluru laju kerana setiap amal yang disenaraikan oleh Naqib rupanya dilakukan oleh mereka dengan baik . Sementara saya gagal dalam banyak amal Islami yang sepatutnya menjadi kewajipan kepada kami para nuqaba' melakukannya.

Ya , saya masih ingat bagaimana saya gagal untuk puasa isnin dan khamis malah saya juga gagal menginfaqkan sebahagian harta yang saya miliki pada minggu tersebut. Kegagalan demi kegagalan sudah pasti mematikan langkahan saya dan akhirnya saya mula menyedari bahawa kedudukan saya dengan garis akhir agak jauh .

Kedudukan ini tentu sahaja menyebabkan naqib saya ( amir ) tidak berpuas hati dengan prestasi saya selaku salah seorang dari para nuqaba' harapannya.

Lalu saya disergah oleh Ust. Musthafa . " Ust. Din ! anta tengok kedudukan anta sekarang , masih terlalu jauh untuk sampai ke garis akhir ! Anta tahu apa maksudnya ? Maksudnya anta gagal untuk layak sebagai seorang pejuang ! "

Saya cuba bertahan . Menahan gelora emosi yang mula diserang rasa bersalah kerana mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang pejuang .

Ust Zulqarnain menambah : " Ust. Din , kalau macam ni keadaan anta macam mana anta nak jadi pemimpin ? Memimpin Gerakan Islam tidak seperti memimpin persatuan kebajikan ! Kenapa minggu ini prestasi amal anta terlalu lemah ? anta lupa tanggungjawab ? anta bermain - main dengan perjuangan ini ? anta ingat nak jadi pejuang cukup setakat pandai pidato ? kemana perginya semua taujihat yang kami berikan kepada anta selama ini ? "

bertalu - talu persoalan diterjah kepada saya oleh Ust Zulqarnain . Perasaan saya makin sukar dikawal dan akhirnya dalam suasana yang penuh hening disubuh hari , saya menangis kesal . saya meraung penuh insaf .

Suasana agak emosional , saya hampir pengsan dalam esakan yang cukup memilukan , mengenang diri yang nyata tidak layak untuk menjadi seorang pejuang sedang saya selalu mendambakan status sebagai seorang pejuang , malah saya bangga memperkenalkan diri kepada sahabat - sahabat bahawa saya adalah seorang pejuang . Saya malu ...

Saya ingat lagi , agak lama juga saya diselubungi rasa bersalah dan saya menangis dan terus menangis sehingga memaksa rakan - rakan anggota madrasah Nuqaba' yang turut menyertai Terapi Muhasabah itu , memujuk dan menyabarkan saya .

Demikian secebis kenangan 14 tahun yang lalu sewaktu saya direkrut dan dikaderkan oleh abang - abang yang lebih senior dalam perjuangan ini . Sebahagian mereka kini menjadi pemimpin , memimpin Gerakan Islam di negeri masing - masing . Pun turut di akui , ada juga mereka yang dulunya mentarbiyah saya , kini mereka hilang dari peta rajah perjuangan di tanahair hari ini . Mungkin mereka berjuang di luar negara . Wallahua'alam .

Bukan Zaman Rekrut

Sekarang saya dan kita semua berada di medan berbanding sebelumnya kita bagaikan berada di kem . Ertinya kita bukan lagi berada di madrasah nuqaba' dan tidak juga berada di dalam tamrin panjang ( mua'skar ) yang mana kita dibina , dilatih , dibentuk , dikader , ditegur , dimarah , dibimbing , dipimpin , diajar dan dinasihat oleh pimpinan .

Hari ini kita bergerak meredah cabaran dan menyerap tekanan dengan tahap upaya sendiri berbekalkan skima pentarbiyah yang telah diambil sejak sekian lama .

Cukup lama diri ini tidak ditegur , dididik , dimarah , dibimbing , dinasihat , diajar dan dikader seperti dulu . Logiknya , kalau dulu pun ( dalam suasana pengkaderan ) saya masih gagal dalam banyak aktiviti amal islami , bagaimana saya boleh berjaya dalam suasana begitu lama saya tidak dibimbing dan ditegur ?

Taubat

Sukar sungguh untuk layak jadi pejuang yang tangguh dan tahan uji . Mungkin saya boleh berjaya dalam satu bahagian tetapi gagal dalam banyak bahagian yang lain . Berhadapan pula dengan tekanan dan cabaran dari luar serta tidak kurang karenah dalaman yang cukup menguji kesabaran .

Antara yang membuat diri ini sering gagal ialah keupayaan dan stamina diri yang masih lemah dalam menangkis serangan kemahuan ( nafsu ) yang datang dari diri sendiri . Ianya sering memerangkap dan menjadikan diri ini leka dan lalai dari tanggungjawab dan amanah sebagai seorang pejuang dan pemimpin .

Banyak sungguh dosa diri ini ! Ya Allah , Ampunkan daku ! Syaithan tentu saja gembira dengan perkembangan ini . Ya Allah ! Janganlah Kau biarkan diriku yang lemah ini terkapai - kapai dihanyutkan arus leka dan lalai dibuai nafsu .

Ya Rabbi Ya Allah ! Kurniakan hidayahMu buat diri ini agar aku mampu thabat di atas landasan perjuangan suci ini . Biarpun aku tidak layak menjadi pemimpin tetapi jangan sekali - kali kau biarkan aku tidak layak untuk menjadi pejuang agamaMU ya Allah !


No comments:

Pakatan Rakyat

Loading...

Disclaimer

Disclaimer
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan pendirian rasmi pengendali laman ini dan DPPKS (Dewan Pemuda Pas Kawasan Serdang) melainkan dinyatakan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...