No 8 Jalan 1/4, Seksyen 1, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan. H/p: 013-3845555 Fax: 03-89250891

Monday, January 10, 2011

Beberapa kisah indah perihal rumahtangga As Syahid Hassan Al Banna daripada buku bertajuk Cinta di Rumah Hassan Al Banna tulisan Muhammad Lili Nur Aulia.










Makan bersama menjadi keutamaan


Umum mengetahui jadual harian Hassan Al Banna sangat padat. Dalam masa 15 tahun selepas penubuhan Ikhwanul Muslimin, beliau telah berjaya melebarkan sayap jamaah tersebut di 20 buah negara. Di Kaherah sendiri, beliau berjaya menubuhkan 2000 cawangan ikhwan. Pun begitu, beliau masih sempat meluangkan masa untuk makan bersama-sama dengan anak-anaknya di rumah.
Seorang puteri beliau, Tsana menceritakan Hassan Al Banna hanya tidur 4 jam sehari. Namun begitu, beliau tetap berusaha untuk makan bersama ahli keluarganya biarpun ada tetamu yang mengunjung.

Tiada kekerasan suara

Tsana bercerita, "Kami tidak pernah merasakan adanya beban kegiatan yang dirasakan ayah selama beliau di rumah. Misalnya, kami tidak melihatnya seperti kebanyakan orang yang kerap berteriak ataupun bersuara keras di dalam rumah kerana ingin melepaskan tekanan mental dan fizikalnya setelah banyak melakukan aktiviti di luar rumah. Bahkan yang paling penting dalam kehidupan ayah adalah soal menguruskan keluarga. Jika saudara baca bagaimana peri kehidupan ayah, saudara akan lihat semuanya berlaku sesuai seperti apa yang dicontohkan oleh Rasulullah."

Bangunkan aku tujuh minit lagi

Biarpun sibuk dengan urusan dakwah, Hassan Al Banna tetap akan meluangkan masa untuk bercuti bersama anak-anaknya. Bagaimana caranya? Wafa, puteri sulong Hassan Al Banna (yang juga isteri kepada Syeikh Ramadhan al Bouti yang masyhur dengan karangan Fiqh Sirahnya) bercerita,

"Misalnya pada musim panas, ayah akan mengatur perjalanan (urusan dakwah) ke arah utara dan pada musim sejuk ke arah selatan. Itu dilakukan supaya ayah boleh memanfaatkan waktu cuti di musim panas untuk pergi dan singgah dari satu kampung ke satu kampung."

"Ayah lebih suka pergi ke arah selatan ketika musim dingin kerana dia boleh pergi dan pulang pada hari yang sama. Ayah pergi pada waktu pagi dan pulang ke rumah untuk makan tengah hari bersama-sama kami. Kadang-kadang dia berehat sebentar di rumah."

Sampai satu ketika, Wafa bercerita Hassan Al Banna telah memintanya untuk dikejutkan selepas tidur selama 7 minit. Wafa mengatakan,

"Saya menyiapkan minuman untuknya. Tetapi ketika selesai membuat minuman, saya sudah melihat ayah di samping saya dan bertanya, 'Sedang membancuh minuman ya, Wafa?' Ayah sangat mampu mengurus dirinya dan selalu disiplin terhadap dirinya."

Saiful Islam, satu-satunya putera Hassan Al Banna pula bercerita,

"Ayah akan menggantikan waktu yang dikhususkan untuk kami dengan waktu lain apabila dia harus bermusafir. Tetapi dalam hal ini, ayah mempunyai keistimewaan. Kamu boleh sahaja duduk bersamanya selama dua jam, dan ternyata itu sudah mampu memuaskan hatimu."


Ingin tahu tentang masa kecilku?

Hassan Al Banna sentiasa mengemaskini rekod kesihatan dan pelajaran anak-anaknya. Beliau telah mengkhususkan fail untuk setiap anak-anaknya. Fail tersebut mengandungi,

· Tarikh dan sejarah kelahiran

· Nombor kelahiran

· Jadual pemberian ubat dan makanan

· Surat keterangan doktor

· Keterangan ataupun catatan mengenai keadaan penyakit secara terperinci

· Ijazah anak-anak

· Catatan prestasi anak-anak di sekolah

Setiap laporan kesihatan disertakan dengan catatan kecil mengenai keadaan si anak. Antaranya keterangan mengenai berapa lama si anak mengambil ubat, berapa dos ubat yang perlu diambil dan apakah semua ubat yang diberikan sudah diminum semuanya.

Tsana bercerita dalam fail tersebut tersimpan rapi semua ijazah dan laporan anak-anaknya.

"Ayah meletakkan di bahagian paling utama, dengan beberapa catatan yang ditulisnya sendiri. Misalnya, tulisan ayah mengenai laporan dan ijazah Saiful Islam, ditulisnya, 'Saif perlu peningkatan dalam hal itu dan ini...Wafa perlu dibantu dalam mata pelajaran ini...'. Demikian catatan demi catatan itu ditulis oleh Hassan Al Banna untuk satu persatu anak-anaknya."

"Ayah juga telah menghantar seorang ikhwah untuk menemani kami membeli beberapa keperluan persekolahan."


Ayah membawa bekal ke sekolah

Seorang lagi puteri Hassan Al Banna, Ir. Roja bercerita,

"Saya masih ingat, ayah biasa membawakan makanan pagi ke taman didikan kanak-kanak, ketika usiaku masih lima tahun. Hal ini kerana perhatiannya kepadaku begitu besar agar saya dapat makan pagi. Ketika itu saya memang sering lupa membawa roti untuk makan pagi ke sekolah, ataupun makanan saya diambil oleh teman-teman di sekolah. Ayah berusaha membawakan makan pagi itu setiap hari ke sekolah, meskipun saya tahu kesibukannya yang luar biasa. Tetapi ayah tetap tidak melupakan kami.."


Apakah keperluan rumah bulan ini?

Saiful Islam berkata,

"Ayah menulis sendiri keperluan yang diperlukan keluarga setiap bulan. Ayah membayar keperluan itu setiap awal bulan kepada salah seorang ikhwah, iaitu al Haj Sayed Syihabudin, seorang pemilik kedai yang menyediakan keperluan rumah."


Ada wang saku harian, mingguan dan bulanan


Salah satu cara yang diterapkan oleh Hassan Al Banna untuk mendidik dan mendisiplinkan anak-anaknya adalah dengan memberikan tiga kategori wang belanja kepada anak-anaknya:

· wang harian 3 qirsy

· wang mingguan 10 ma'adin

· wang bulanan 50 qirsy

Maksud pembahagian wang ini adalah untuk memberikan kecukupan kepada anak-anaknya. Saiful Islam bercerita,

"Saya masih ingat setiap orang daripada kami mendapat wang setiap hari pada tahun 1942 dan 1943 sebanyak 3 qirsy. Ini jumlah yang besar ketika itu. Kerana teman-teman sekolah saya pada ketika itu umumnya mendapat wang hanya satu per empat qirsy ataupun setengah qirsy sahaja."

Ketika ditanya mengapa Hassan Al Banna memberikan wang saku yang banyak kepada anak-anaknya, Saiful Islam menjawab,

"Dia hanya ingin memberikan kepuasan kepada kami, kerana perasaan seorang anak yang tidak mendapat sesuatu itu baginya sangat sulit."

Saiful Islam juga ditanya apakah wang belanja yang banyak itu akan merosakkan anak-anak? Ini kerana ramai orang khuatir untuk memberikan wang kepada anak dalam jumlah yang besar agar mereka tidak menyalahgunakan wang pemberian itu. Saiful Islam menjawab,

"Pendidikan dan tarbiah dihasilkan daripada berbagai-bagai cara. Seperti masakan yang menggunakan sejumlah adunan dengan bahan-bahan yang baik. Itu akan memberikan hasil yang bersih. Yang penting bukan pada jumlah wang belanja itu besar ataupun kecil, tapi yang penting adalah pola pendidikan dan pembinaan yang dilakukan di rumah."


Ayah mengutuskan pengintip

Anak-anak Hassan Al Banna dibiasakan untuk selalu berinfaq. Dengan demikian, anak-anaknya akan menjadi seorang pemberi manfaat dan kebaikan kepada orang lain, untuk bangkit dan maju bersama-sama dengan umatnya. Saiful Islam berkata mengenai hal ini,

"Ayah memberikan kami 10 ma'adin untuk kami infaqkan semuanya pada setiap hari Jumaat, selepas solat Jumaat. Ayah tidak pernah lupa dengan kebiasaan ini. Saya mengerti juga akhirnya, ternyata ayah mengutuskan seorang ikhwan untuk mengintip bagaimana saya menginfaqkan wang pemberian itu, sehingga ayah merasa tenang dengan penggunaan wang yang diamanahkan kepada saya."


Nilai hidup ini ada pada keimanan

Saiful Islam masih ingat kata-kata Hassan Al Banna yang didengarnya,

"Jika kamu melihat seorang mukmin yang betul orientasi hidupnya, pasti dia juga memiliki banyak faktor kejayaan dalam hidupnya."

"Saya masih ingat ketika di bangku sekolah rendah, ayah berkata, 'Setiap orang harus menguasai sesuatu bidang. Dahulu, datuk berjaya menguasai ilmu pembaikian jam'. "

"Lalu suatu ketika di musim cuti panas, saya diajak pergi ke sebuah syarikat percetakan milik Ikhwanul Muslimin. Ayah meminta seorang temannya, al akh Sayyid Thaha untuk mengajar saya proses percetakan. Saya tahu itu dilakukan ayah kerana ayah ingin menerapkan sunnah Rasulullah,

"Sesungguhnya Allah SWT mencintai seorang mukmin yang kreatif."


Menasihati secara tidak langsung

Tsana menceritakan,

"Saya masih ingat ketika Saiful Islam masih suka membaca komik. Tetapi ayah telah memberikan kepadanya buku-buku berkaitan kisah-kisah kemuliaan Islam seperti Salahuddin Al Ayyubi dan Antarah bin Syadad. Selepas beberapa lama, dia sendiri meninggalkan buku Arsin Lobin dan sebaliknya lebih banyak dan gemar membaca buku-buku pemberian ayah. Ayah suka mengarahkan kami secara tidak langsung agar apa yang kami lakukan itu terbit daripada diri sendiri, bukan daripada perintah ataupun tekanan sesiapa."

No comments:

Pakatan Rakyat

Loading...

Disclaimer

Disclaimer
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan pendirian rasmi pengendali laman ini dan DPPKS (Dewan Pemuda Pas Kawasan Serdang) melainkan dinyatakan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...