No 8 Jalan 1/4, Seksyen 1, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan. H/p: 013-3845555 Fax: 03-89250891

Thursday, February 10, 2011

SPR: Pemilih baru didaftar dijangka dua kali ganda tahun ini
Oleh G ManimaranFebruary 10, 2011
KUALA LUMPUR, 10 Feb — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan pendaftaran pengundi-pengundi baru pada tahun ini akan "berganda" berbanding jumlah permohonan yang diterima tahun lalu.

Spekulasi pilihan raya umum ke-13 dan demam pilihan raya negeri Sarawak dijangka akan mempengaruhi peningkatan jumlah permohonan untuk menjadi pengundi baru yang sah tahun ini.

“Berdasarkan prestasi tahun lalu, tahun ini saya menjangkakan ia akan meningkat, akan berganda pada ahun ini,” kata timbalan pengerusinya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar kepada The Malaysian Insider.

“Saya yakin akan ada peningkatan, akan berganda... itu trend yang sentiasa berlaku,” katanya.

Suruhanjaya itu berpandangan sedemikian memandangkan bilangan permohonan baru diterima akan meningkat pada tahun-tahun akhir sebelum pilihan raya.

“Macam ketika menghampiri pilihan raya umum 1999, 2004 dan 2008, kita menerima purata 250,000 setiap suku pada tahun-tahun akhir menjelang pilihan raya... kita senang-senang boleh dapat 250,000 secara purata, tapi saya ia boleh meningkat kepada 300,000 setiap suku (pada tahun ini),” kata beliau lagi.

Ramai meramalkan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tahun ini.

Perangkaan dikeluarkan SPR kelmarin menunjukkan seramai 292,444 orang memohon mendaftar sebagai pengundi baru antara Oktober dan Disember lalu - suku terakhir 2010 — berbanding 246,962 orang antara Julai dan September.

Jumlah permohonan baru bagi suku terakhir tahun lalu meningkat hampir sekali ganda berbanding suku pertama 2010.

Pada suku pertama Januari hingga Mac 2010, SPR menerima 134,298 permohonan baru dan ia meningkat kepada 191,970 sepanjang April dan Jun.

Dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih suku tahun keempat, Oktober hingga Disember, SPR telah menerima sebanyak 292,44 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dan sebanyak 38,820 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi," kata pegawai perhubungan awamnya Sabri Said.

Arah aliran peningkatan jumlah permohonan baru itu sama dengan situasi pada 2007 di mana ia mengalami peningkatan ketara menjelang pilihan raya umum ke-12, yang berlangsung pada suku pertama tahun 2008.

Sehingga 27 Disember lalu rekod SPR menunjukkan negara mempunyai 11,532,876 pengundi iaitu 5.956 juta pengundi kalangan orang Melayu, Cina (3.571 juta), India (839,700), Bumiputera Sabah (540,086), Bumiputera Sarawak (472,628), Orang Asli (57,453) dan lain-lain (94,555).

Mengulas peningkatan itu, Wan Ahmad berkata, daripada hampir 300,000 yang memohon untuk menjadi pemilih baru, “majoriti berusia di bawah 30 tahun.”

Beliau juga yakin bilangan permohonan akan meningkat tahun ini memandangkan Sarawak bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya Dewan Undangan Negeri dan juga menjelang pilihan raya umum ke-13.

“Saya yakin kita boleh dapat lebih sejuta pengundi baru tahun ini,” katanya.

Kini ada sekitar empat juta rakyat negara ini belum mendaftar sebagai pengundi manakala sekitar 450,000 orang mencapai umur 21 tahun yang membolehkan mereka daftar sebagai pengundi yang sah.

Mengenai sebab peningkatan ketara pendaftaran pengundi baru, Wan Ahmad berkata, ia disebabkan oleh kewujudan penolong pendaftar, yang secara tidak langsung “berluma-luma untuk mencari pengundi baru.”

Kata beliau, ia juga ada kaitan dengan persediaan dan persiapan parti-parti politik yang mahu menambah ahli baru mereka.

Wan Ahmad juga tidak menolak kekerapan pilihan raya kecil sejak Mac 2008 juga menyumbang kepada peningkatan jumlah pendaftaran pemilih baru.

Pilihan raya kecil ke-15 sejak Mac 2008 akan berlangsung 6 Mac ini.

No comments:

Disclaimer

Disclaimer
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan pendirian rasmi pengendali laman ini dan DPPKS (Dewan Pemuda Pas Kawasan Serdang) melainkan dinyatakan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...