Pemuda PAS minta isu hilang kerja ditangani segera
Oleh Zukri AksahKUANTAN, 30 Jun – Seperti diumumkan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan dua hari lepas, jumlah terkini pekerja yang diberhentikan di seluruh Malaysia adalah seramai 30,111 orang. Ini tidak termasuk jumlah penganggur sedia ada yang gagal mendapatkan pekerjaan.
Mengulas perkembangan ini, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat menyeru kerajaan supaya lebih jujur dalam membangunkan negara, dengan meletakkan setiap individu rakyat adalah “negara” yang perlu dimajukan.
Kes pembuangan pekerja dan kadar pengangguran yang terus meningkat dibimbangi akan memberi kesan sosial yang serius terhadap masyarakat secara keseluruhannya. Apa yang ditakuti, menurut Nasrudin, fenomena ini akan merebakkan gejala jenayah seperti rompak-ragut dan masalah moral seperti jual diri atau pelacuran dan sebagainya.
Nasrudin meminta supaya kerajaan lebih peka dalam isu-isu sebegini, tambahan pula Islam turut menggariskan bahawa antara tanggungjawab sebuah kerajaan adalah menjaga kebajikan dan keselamatan rakyatnya.
Dalam menangani isu ini, kerajaan tidak boleh selamanya menggunakan alasan kelembapan ekonomi dunia yang sedang dirasai sekarang.
Kerajaan harus bertindak pantas seperti membatalkan segera projek-projek mega mewah yang menguntungkan segelintir golongan yang sudah sedia kaya, tetapi menyusahkan ramai golongan bawahan yang sudah sedia susah.
Berhadapan dengan situasi ekonomi hari ini, merekalah yang sepatutnya didahulukan untuk meraih nikmat dana kerajaan.
Nasrudin dalam hal ini mendesak kerajaan supaya mula mengambil langkah berjimat-cermat, kerana katanya pembaziranlah yang akan terus mengheret negara berada dalam keadaan resah dan tertekan akibat dari kitaran ekonomi dunia yang berpusing perlahan.
Menariknya, dalam menutup kenyataan beliau, Nasrudin sempat berpesan yang negara tidak hanya boleh dibangunkan dengan berasaskan bata, simen dan pasir semata-mata, tetapi mestilah juga dibina nilai spiritual dan rohani yang tinggi serta kukuh.
No comments:
Post a Comment