No 8 Jalan 1/4, Seksyen 1, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan. H/p: 013-3845555 Fax: 03-89250891

Saturday, February 13, 2010

Pemuda PAS protes sambutan hari kekasih Menara KL

KUALA LUMPUR, Feb 12 — Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyeru umat Islam supaya tidak terlibat dalam mana-mana sambutan sempena hari kekasih atau Valentine’s Day termasuk di Menara Kuala Lumpur, Ahad ini.

Ketuanya, Kamaruzzaman Mohamad berkata remaja negara ini perlu akur dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang memutuskan meraikan sambutan Valentine bukan dari ajaran Islam.

“Kita risau sekiranya sambutan yang bakal diadakan diisi dengan program-program maksiat yang jelas bertentangan dengan Islam dan budaya timur.

“Ia juga menggalakkan budaya ‘couple’ secara bebas di kalangan anak-anak muda yang menyumbang gejala negatif di dalam negara kita dan bertentangan dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini,” kata beliau yang juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat kepada Harakah Daily.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 2005 telah memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

Oleh itu, amalan meraikan ia diharamkan oleh agama Islam.

Kamaruzaman bersama beberapa Exco Pemuda PAS Wilayah telah menyerahkan surat bantahan sambutan hari kekasih yang akan diadakan di Menara Kuala Lumpur, Ahad ini.

Surat bantahan diterima oleh Mohd Zakhir Azam, Pengurus Perkhidmatan Pelanggan setelah perbincangan selama lebih kurang 30 minit.

Pengurusan Menara Kuala Lumpur menjelaskan beberapa perkara yang menimbulkan kekeliruan seperti laporan akhbar semalam.

Antaranya tawaran baucar hotel yang ditawarkan adalah baucar makanan dan bukannya baucar penginapan untuk pasangan kekasih tidur bersama pada malam tersebut.

Mohd Zakhir menjelaskan bahawa tidak ada minuman keras yang akan dihidangkan dan dijual pada malam sambutan tersebut.

Selain itu, pihak menara KL akan memastikan tidak ada ruangan bersendirian disediakan untuk pasangan melakukan aktiviti-aktiviti tidak bermoral.

Laporan akhbar semalam menyebut sambutan hari kekasih yang akan disambut Ahad ini, buat julung kali di Menara Kuala Lumpur menjemput pasangan kekasih meraikannya di pelantar terbuka menara berketinggian 300 meter.

No comments:

Disclaimer

Disclaimer
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan pendirian rasmi pengendali laman ini dan DPPKS (Dewan Pemuda Pas Kawasan Serdang) melainkan dinyatakan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...