No 8 Jalan 1/4, Seksyen 1, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan. H/p: 013-3845555 Fax: 03-89250891

Friday, March 19, 2010

1 Dekad Sepenuh Masa Bersama PAS

Assalamu’alaikum dan salam perjuangan…

Sememangnya masa cukup pantas bergerak sehingga kekadang kita tidak sedar bahawa masa yang dinilaikan oleh pepatah Melayu sebagai Emas ini berlalu dengan begitu sahaja tanpa kita memanfaatkannya.

Lagi beberapa hari apabila hari yang kita bakal lalui bertarikh 23 Mac 2010 menandakan bahawa genaplah tempoh selama 10 tahun saya menginfakkan diri sebagai petugas sepenuh masa bersama Parti Islam SeMalaysia (PAS). Cukup cepat masa berlalu, bukankah begitu?

Saya masih teringat lagi ketika saya mula-mula menghantar surat meletakkan jawatan kepada ketua jabatan di tempat saya bekerja ketika itu sebagai Jurutera Muda, beliau telah menolak surat perletakkan jawatan saya sebanyak tiga kali malah saya telah ‘diumpan’ dengan tawaran kenaikan pangkat, kenaikan gaji dan beberapa insentif lain dengan harapan saya akan terus kekal di situ. Namun, kerana jiwa saya yang telah terpatri untuk bersama PAS secara sepenuh masa maka akhirnya ‘bos’ saya tidak dapat untuk menolak surat perletakkan jawatan saya apabila surat tersebut dihantar untuk kali yang keempat.

Gambar ketika di Batang Sadong, Sarawak pada tahun 2001

Sebenarnya, saya masih gembira untuk bekerja dan berbakti dengan tempat kerja yang telah saya berkhidmat selama empat tahun ini kerana suasana kerjanya cukup serasi dengan saya dan tidak menghalang saya untuk aktif bersama PAS namun tawaran yang telah dibuat oleh Ketua Pemuda PAS Johor ketika itu, sdr Mazlan Aliman tidak mampu untuk saya tolak kerana sejak daripada zaman menuntut ilmu di UTM lagi saya telah punya hasrat untuk ‘full time’ dengan PAS.

Bermula sebagai seorang Pengarah PASTI yang berkhidmat sepenuh masa, saya menerima tugas tersebut dengan harapan yang telah diberikan untuk menggerakkan PASTI di Johor. Bermula dengan sebuah pejabat tanpa kerusi dan meja, saya memulakan langkah dan strategi untuk memenuhi harapan sdr Mazlan untuk memajukan PASTI. Namun, ia bukan satu perkara yang mudah dengan segala bentuk kekurangan yang tidak perlulah saya catitkan di sini untuk pengetahuan umum. Apa yang pasti ia adalah merupakan satu cabaran yang cukup luar biasa kepada insan seperti saya yang sudah terbisa dengan suasana tempat kerja yang selesa.

Bermula dengan kewangan yang meruncing dan dikelilingi dengan pelbagai jenis hutang, perjalanan awal saya di PASTI cukup mencabar keimanan dan kesabaran. Tidak perlulah saya mencatatkan kesemuanya, cukuplah suasananya digambarkan bahawa ia cukup perit dan mencabar.

Setelah tiga bulan bersama dengan PASTI Johor, saya telah mula menanamkan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Pengarah PASTI Negeri Johor. Kenapa saya ingin mengambil keputusan sedemikian? Terlalu banyak sebabnya, di antaranya kerana tugas yang diberikan cukup besar bebanannya sehinggakan saya tercungap-cungap untuk memulakan tugas yang cukup berat ini. Disamping itu, saya juga dibebankan dengan elaun yang jauh lebih rendah daripada apa yang telah saya nikmati ketika menjadi Jurutera Muda sebelum daripada itu. Ditambah lagi, tawaran demi tawaran baru telah saya terima daripada kenalan yang pernah bersama dalam kerjaya saya daripada dalam negara malah juga daripada luar negara.

Mujurlah, isteri menyedarkan saya daripada hanyut di bawa arus kehendah duniawi. Isteri saya mengingatkan bahawa apabila kita telah memilih untuk berjuang bersama PAS bermakna kita telah memilih jalan untuk berhadapan dengan segala bentuk kesusahan dan kepayahan. Bermakna, sekiranya kita memilih jalan untuk berkhidmat sepenuh masa dengan PAS maka kita perlu menanggung apa jua cabaran dan risiko.

Benarlah seperti mana yang telah Allah Firmankan di dalam ayat ….

“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasulnya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).” ~ Al-Hujarat ayat 15

Di dalam PASTI Johor, saya ada beberapa sahabat-sahabat yang sanggup bersusah-payah untuk memulakan satu dimensi baru khususnya yang berkaitan dengan soal pengurusan. Sistem fail diwujudkan, rekod kewangan dikemaskini, pejabat dipindahkan ke Kluang dan dijadikan pusat operasi PASTI yang baru, perlantikan tiga orang staf sepenuh masa, sistem perbekalan dikemaskini dan perlantikan pembekal yang baru, merombak ahli lembaga pengarah PASTI Johor, membantu dalam pembentukan badan sokongan PASTI seperti Majlis Guru PASTI dan banyak lagi yang cuba dilakukan dan dilaksanakan untuk membuat perubahan kepada PASTI.

Dengan sokongan daripada isteri dan di bantu oleh sahabat-sahabat di dalam Lembaga Pengarah PASTI Johor seperti sdr Halim Sahelan, sdr Ismail dan sdr Za’aba Ibrahim serta beberapa pimpinan lain maka harapan untuk melihat PASTI Johor berkembang telah berjaya dicapai. Bermula dengan 69 buah PASTI pada tahun 2000 ketika saya mula memegang amanah tersebut, jumlah PASTI telah mula melonjak kepada 219 buah ketika saya melepaskan jawatan Pengarah PASTI Johor pada tahun 2005.

Memberi ucapan kepada guru-guru PASTI di Johor

Realitinya, saya sebenarnya belum bersedia untuk melepaskan jawatan Pengarah PASTI tetapi kerana jawatan Ketua Pemuda adalah jawatan yang cukup berat untuk saya pikul pada ketika itu. Namun, saya masih lagi bersama dengan PASTI di peringkat PASTI Pusat sebagai Pengerusi Penaziran (2003-2005), Setiausaha (2005-2006) dan Timbalan Ketua pengarah 1 (2006-2007).

Bermula Mei 2005 sehingga kini, saya diamanahkan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) dan sememangnya mengemudi sebuah organisasi yang berasaskan pendidikan tidaklah sama apabila amanah diberikan untuk mengemudi sebuah organisasi politik seperti DPPNJ. Ia adalah merupakan satu tanggungjawab yang cukup berat lebih-lebih lagi dalam sebuah negeri yang lahirnya sebuah parti politik yang bernama UMNO.

Mengukur tahap kejayaan atau kegagalan bersama PASTI lebih mudah dinyatakan berbanding dengan bersama DPPNJ kerana ukuran bersama DPPNJ perlu diukur dan dilihat berdasarkan segala bentuk aktiviti yang dijalankan oleh agensi DPPNJ tidak kira sama ada aktiviti politik, kemasyarakatan, sosial, pendidikan, motivasi dan apa jua yang dilakukan oleh lajnah, jabatan ataupun unit.

Apapun, kejayaan PAS Johor memenangi dua kerusi DUN di Maharani dan Sungai Abong sedikit sebanyak memberikan kelegaan kepada saya dan kepimpinan DPPNJ yang telah ‘all out’ untuk memberikan tumpuan kepada tiga kerusi DUN bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke 12 pada tahun 2008 yang lalu.

Tugas berat DPPNJ yang akan datang adalah tumpuan untuk memenangi sehingga lima buah DUN sasaran di Johor. Sudah hampir pasti, gandaan tugas yang sedang dan bakal dipikul oleh kepimpinan DPPNJ pada masa kini dan akan datang lebih mencabar dan memerlukan lebih banyak pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit.

Sebagai catatan hujung, 10 tahun bersama PAS sebagai petugas sepenuh masa adalah masa yang panjang dan terlalu banyak sebenarnya pengalaman yang telah saya perolehi dan saya pasti ia sudah tentu tidak sama dengan apa yang dilalui oleh sahabat-sahabat yang lain. Ada masanya saya lalui perjuangan ini dengan kekuatan yang luar biasa dan ada masanya saya juga diuji dengan pelbagai dugaan yang kadang-kadang hampir meragut semangat juang saya.

Nasihat saya kepada sahabat-sahabat seperjuangan yang pernah menyatakan hasrat untuk ‘full time’ bersama dengan perjuangan ini, jika kita masih punya hasrat untuk hidup senang di atas muka bumi maka janganlah pilih jalan ini (berjuang sepenuh masa) kerana hasrat itu sukar untuk tertunai. Bersedialah untuk hidup susah, hidup serba kekurangan dan serba kepayahan.

Mudah-mudahan Allah memberikan saya kekuatan untuk bersama dengan PAS dalam keadaan seperti hari ini sehingga dua kalimah syahadah diucapkan sebagai kalimat terakhir bagi mengakhiri hidup saya di dunia ini…

Wassalam

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

19 Mac 2010, 12.59 tengah malam

Pejabat Dewan Pemuda PAS Negeri Johor,

Taman Renggam Jaya, Simpang Renggam, Johor.

No comments:

Disclaimer

Disclaimer
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan pendirian rasmi pengendali laman ini dan DPPKS (Dewan Pemuda Pas Kawasan Serdang) melainkan dinyatakan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...