No 8 Jalan 1/4, Seksyen 1, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan. H/p: 013-3845555 Fax: 03-89250891

Monday, March 8, 2010

Air Mata Berguguran di Raudhatus Sakinah


Alhamdulillah, pada 20 Februari 2010, saya bersama beberapa orang krew dan user iLuvislam.com antara insan terpilih untuk menziarah Raudhatus Sakinah (RS). RS yang ditubuhkan sejak Ogos 1998 bagi membantu remaja yang terlibat dalam masalah gejala sosial meningkatkan keyakinan mereka untuk menjadi individu yang berguna. Antara matlamat RS ialah membantu remaja menghayati Islam sebagai cara hidup, menaikkan semula keyakinan diri dan meneruskan kehidupan yang sihat. RS yang didaftarkan secara rasminya di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga bertanggungjawab untuk merealisasikan nahi mungkar ke arah membanteras gejala sosial.

Program ziarah ini dinamakan Dialog Krew 2 (DK 2). Jika sebelum ini, DK 1 adalah lebih fokus kepada krew iluvislam.com sahaja. Kali ini kami luaskan skop dan turut mengajak beberapa orang user terpilih untuk ikut sama mendekati masyarakat bagi menguatkan ikatan ukhuwah di samping mendedahkan peserta DK 2 dengan persekitaran yang mempunyai pelbagai cabaran dan dugaan yang harus ditempuhi.

Aktiviti berjalan lancar seperti apa yang dirancangkan. Bermula dengan ucapan kata aluan dari Presiden iluvislam.com, penyampaian kata-kata amanat dari Pengarah RS, sesi ta'aruf bersama penghuni RS, dan paling tidak dilupakan, sesi 'heart to heart' (setiap peserta DK 2 menemuramah seorang penghuni RS).


Peserta DK 2 (krew & user iluvislam.com). Semoga Allah menjaga hati-hati mereka
dan moga mereka terus tabah 'memberi' kepada ummah melalui iluvislam.

Saya terpilih untuk melalui sesi 'heart to heart' tersebut bersama seorang penghuni yang dikenali sebagai Zue (bukan nama sebenar). Banyak yang beliau kongsikan termasuk jadual harian para penghuni di RS. Setiap hari mereka tidur jam 11 malam, bangkit semula jam 3 pagi, zikir pagi kemudian menunaikan Qiamullail.

Kebanyakan waktu mereka diisi dengan berzikir, membaca mathurat, melaksanakan tugasan harian masing-masing seperti mengemas, masak dan sebagainya. Jam 9 pagi, mereka sekali lagi berkumpul untuk bertadarus dan sekiranya ada sukarelawan datang untuk mengajar, mereka akan meluangkan masa untuk menghadiri kelas.

Mereka diwajibkan solat berjemaah setiap waktu. Begitulah aktiviti seharian mereka; diisi dengan usrah, taklim, membaca surah-surah pilihan, mengaji tilawah Al-Quran. Setiap malam sebelum mengakhirkan hari mereka, mereka dilatih untuk berucap didepan khalayak ramai.

Subhanallah, kagum saya melihat cara hidup mereka, ternyata, jauh lebih baik daripada diri saya sendiri. Mereka mungkin pernah melakukan dosa, namun sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Kita mungkin tidak melakukan dosa besar, tidak berzina tapi jangan mudah berasa puas hati.

Jangan terlalu yakin bahawa kita lebih baik daripada mereka, barangkali, dosa kecil yang kita lakukan terlalu banyak, tanpa kita sedari, ibarat titik-titik hitam yang akhirnya, lama-kelamaan berjaya menghitamkan jiwa kita. Segeralah muhasabah diri, perbaiki segala kelemahan diri.

Ketika sesi 'heart to heart', Zue banyak berkongsi pengalaman hidupnya. Persoalan seperti bagaimana dia boleh terjebak dengan pergaulan bebas, bagaimana penerimaan keluarga dan saudara maranya setelah mendapat tahu bahawa dia sudah hamil luar nikah dijawab dengan tulus.

Ketika mula-mula tiba di RS, dia benar-benar memberontak. Waktu itu dia telah hamil 6 bulan. Namun ujarnya, akhirnya dia merasa ketenangan yang sebenarnya, seolah-olah hidayah Allah singgah dihatinya setelah 4 bulan berada di RS. Kini dia dapat menerima segala ketentuan Ilahi dengan hati yang redha dan berusaha untuk memperbaiki diri menjadi muslimah yang lebih baik.

"Saya tidak mahu; kerana saya, ayah dan ibu saya tidak dapat masuk syurga," Luah Zue sambil menitiskan airmata penyesalan.

"Saya takut nanti bila keluar dari sini saya tidak istiqamah, saya takut saya tak cukup kuat, saya takut berhadapan dengan masyarakat," Ujar Zue lagi. Manik-manik jernih mula mengalir dari kelopak matanya.

Sungguh, dia kelihatan tabah cuma luaran, namun hatinya masih serapuh kaca. Doa dan harapan saya, agar Zue dan seluruh penghuni RS terus istiqamah dalam jalan taubat dan menjadi anak yang solehah.

Selesai sesi 'heart to heart',
sekali lagi berhimpun untuk majlis penutup. Upacara peneutup dimulakan dengan perkongsian presiden iLuvislam.com; akhi Mohd Nurul Imran Koyube, berkenaan "Yes, WE can change."

Selepas perkongsian yang memberikan inspirasi tersebut, setiausaha team Event iLuvislam Malaysia; ukhti Ainatul Mardhiah telah menyampaikan sebuah sajak yang sangat menusuk kalbu.

Paling istimewa, selepas itu, semua krew dan user iluvislam.com berdiri untuk menyanyikan lagu nasyid "Puteriku Sayang"; dihadiahkan khas kepada seluruh penghuni RS.

Maha suci Allah, sepanjang lagu itu dinyanyikan, bukan sahaja penghuni RS, malah kebanyakan dari krew dan user turut mengalirkan airmata. Kami sebak.

Selesai menyanyikan lagu tersebut, akhi Ruzaini Ibrahim; salah seorang co-founder iLuvislam.com dijemput untuk membacakan doa penutup.


Kami semua sebak dan 'tewas' sehingga menangis..Menangis sekeras-kerasnya
kerana taubat kami kepada Allah dan cinta kami kepada ummah..

Allah ya rabb, kami menadah tangan, berdoa dan memohon kepada Ilahi... Kini mutiara dari kolam mata kami makin lebat berguguran, mengalir laju di pipi kami tanpa mampu terbendung. Moga, airmata ini tanda kasih sesama manusia, airmata keinsafan dan airmata yang mampu memadamkan api neraka di akhirat kelak. Allah menyaksikan segalanya, hati-hati ini telah bersatu di bawah naungan-Nya, moga Dia terus memimpin hati-hati kami ini, agar terus setia di jalan-Nya.

Raudhatus Sakinah menyimpan seribu satu rahsia, menjadi kenangan terindah yang tersimpul kemas dalam ingatan. Moga segala pengalaman yang diperolehi, memberi seribu satu manfaat dan pengajaran kepada seluruh peserta DK 2. Dengan izin Allah.

Doa saya; semoga iluvislam berjaya mencapai misi dan visi, semoga terus maju jaya, berkhidmat dan berbakti kepada ummah. Amin.


Editor : Terlalu ramai masyarakat di luar sana yang memerlukan tunjuk ajar dan kasih sayang daripada kita (yang mempunyai kesedaran agama). Jadi, bertebarlah kalian di atas muka bumi untuk membantu mereka.

Ummah kini semakin tenat, tetapi mengapa kita masih diam di rumah atau di bilik yang empuk tilamnya? Kita tiada sensitiviti untuk membantu sahabat yang lain..Sesungguhnya rakan-rakan kita di luar sana memerlukan tangan-tangan kita untuk membantu mereka..

Berkasih sayanglah sesama kita.. Kurangkanlah perbezaan dan carilah titik pertemuan untuk terus berlapang dada dan bersama-sama mengubati masyarakat yang kini mengidap penyakit kronik.



Kredit kepada
www.iluvislam.com
Hasniza Ibrahim*
Editor : Im Koyube



*Hasniza Ibrahim (Pengarang) adalah ketua moderator forum umum iluvislam.com. Beliau merupakan seorang jurutera kimia.

No comments:

Disclaimer

Disclaimer
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan pendirian rasmi pengendali laman ini dan DPPKS (Dewan Pemuda Pas Kawasan Serdang) melainkan dinyatakan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...