No 8 Jalan 1/4, Seksyen 1, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan. H/p: 013-3845555 Fax: 03-89250891

Saturday, September 4, 2010

ramadhan 8


ramadhan 5


ramadhan 4


ramadhan 3


ramadhan 2


ramadhan 1



Saban tahun umat Islam menyambut bulan Ramadhan al-Mubaarak yang juga dikatakan bulan untuk kita menguji ketahanan mental dan fizikal. Dari segi sambutan, lain tempat, lain caranya. Di Makkah Al-Mukarramah, perayaan untuk menyambut bulan Ramadhan telah bermula seawal bulan Sya'ban. Pada akhir Sya'ban, penduduk Makkah secara amnya akan berpusu-pusu ke pasaraya dan gedung-gedung jualan untuk membeli-belah dan membuat simpanan stok bagi bulan Ramadhan. Ini kerana, pada bulan Ramadhan, Kota Makkah akan menjadi kota yang paling sibuk berbanding bulan-bulan yang lain kecuali bulan Haji. Oleh itu, sesetengah daripada penduduk telah mengambil inisiatif untuk mengelakkan berlakunya kekurangan bekalan makanan dengan merancang lebih awal perbelanjaan mereka. Termasuk juga pembekalan air zam-zam yang boleh didapati di tempat pengagihan air samada di Qudai atau di Maulud Nabi berdekatan MasjidilHaram. Harga zam-zam sudah diketahui umum akan melambung dengan tinggi dek kerana permintaan melebihi pasaran. Perancangan awal amat diperlukan untuk menjimatkan kos belanja.

Apa yang menarik berada di Kota Makkah ini, pelbagai syarikat swasta akan berlumba-lumba menawarkan khidmat penyediaan makanan berbuka (iftar) untuk golongan yang tidak berkemampuan dan jemaah umrah. Mereka biasanya akan menyediakan pakej bermula dari SR 10, SR 20 dan SR 30 sebagai bayaran untuk pengagihan makanan kepada para jemaah dan penduduk Kota Makkah. Makanan yang disediakan termasuk kurma, roti, air, laban (susu masam) dan sambosa. Golongan arab kaya akan menghulurkan sebanyak-banyaknya sedekah di dalam bentuk ini kerana ia adalah satu sifat tradisi penduduk Makkah dalam memberi layanan kepada para jemaah.

Di dalam bulan Ramadhan, apabila tiba waktu petang, akan kedapatan beberapa kenderaan yang berhenti dan membahagi-bahagikan makanan secara percuma kepada para pejalan kaki. Biasanya mereka akan bertumpu di sekitar MasjidilHaram untuk tujuan tersebut. Kita akan dapat melihat jemaah berebut-rebut untuk mendapatkan makanan secara percuma yang telah diagihkan secara rawak kepada mereka. Sehingga ada yang bertumbuk demi mendapatkan sepaket makanan!

Jika di Mesir, ada pemandu teksi yang memberikan khidmat secara percuma demi untuk meraih ganjaran dari Allah atas usaha itu, namun di Makkah ianya amat berbeza. Mereka, malahannya menaikkan harga sehingga berkali-ganda kerana pengangkutan utama di sini adalah teksi. Harga akan melambung naik apabila tiba 10 malam akhir dari bulan Ramadhan. Saya pernah ditawarkan menaiki sebuah teksi yang berharga SR100 untuk menghubungkan MasjidilHaram dan Aziziah yang terletak hanya kira-kira 5km sahaja. Pengangkutan lain seperti bas juga ada disediakan dengan harga tiket sebanyak SR 2 yang menghubungkan Mina dan terminal bas di Maulud Nabi. Bagi saya, pengangkutan bas adalah salah satu sistem pengangkutan paling efektif sekali di bulan Ramadhan kerana ianya amat menjimatkan kos dan masa.

Majlis berbuka puasa yang paling meriah sudah tentulah di dalam MasjidilHaram. Saat menunggu waktu berbuka kita dapat melihat betapa hubungan silatulrahim yang amat akrab sesama muslim tanpa mengira latar belakang, perkauman dan kebudayaan. Masing-masing berdoa penuh sabar mengharapkan amalan ibadatnya akan diterima Allah. Berlatar belakang Kaabah, anda dapat menikmati kurma pilihan seperti Sukkari, Ajwa, Routab, Anbar dan lain-lain lagi yang disesuaikan dengan minuman arab iaitu Qahwah (kopi pahit) dan Teh bersama daun pudina. Antara makanan-makanan juadah berbuka puasa yang diminati di Saudi adalah seperti Sambosa, Shourbah (sejenis sup yang dimasak bersama daging dan makaroni) dan nasi Mandi bagi mereka yang mencari kelainan berbuka di Saudi Arabia ini. Selesai solat maghrib, kebanyakan jemaah akan keluar untuk mendapatkan pelbagai makanan di kedai-kedai berdekatan dan pilihan utama kami sudah tentulah di Felda D'saji yang menyediakan teh tarik tersedap saudi!

Ramadhan membuatkan Kota Makkah menjadi antara bandaraya tersibuk dunia. Manusia datang bertumpu dari serata pelosok dunia. Ramadhan kali ini juga menjadi tempat tumpuan bagi negara-negara teluk yang berdekatan seperti Bahrain, Qatar, Kuwait dan UAE untuk datang berkunjung bagi menghabiskan cuti sekolah yang berlanjutan selama 3 bulan termasuk negara Saudi. Faktor lain yang turut sama menjadi penyumbang bagi kesesakan adalah kerana berlakunya renovasi secara besar-besaran di sekitar MasjidilHaram. Hotel-hotel yang lama seperti Aziz Khooger, Asia Palace, Sofitel, Grand Makkah dan sebagainya telah diruntuhkan untuk tujuan pembesaran kawasan MasjidilHaram.

Seingat saya, ketika saya masih lagi menjadi pelajar ijazah di Jabatan Pengkhususan Bahasa Arab dan Pendidikan, kira-kira 5 tahun lepas, kami bebas boleh membawa motor dan diparkir di sekitar MasjidilHaram kerana orang masih lagi tidak terlalu ramai walaupun di bulan Ramadhan. Ada masanya kadang-kadang saya boleh membawa motor melintasi Bab Assalam menuju ke Ajyad melalui jalan bersebelahan dengan tembok istana. Kini segala-galanya telah berubah. Nak berjalan kaki pun sesak, apatah lagi nak membawa motor.

Malam di bulan Ramadhan akan terus hidup sehingga tiba waktu fajar. Kebanyakan dari mereka menggunakan kesempatan selesai solat terawikh untuk melipat-gandakan lagi amalan dengan terus berada di dalam masjid sehingga waktu subuh tamat kerana jarak antara terawikh dan waktu subuh hanyalah 5 jam. Ada juga di antara penduduk Makkah menggunakan kesempatan pada waktu malam untuk bertandang ke rumah rakan-rakan dan sanak-saudara, bermain bola, berkelah bersama keluarga dan sebagainya lagi sehingga waktu bersahur dan selesai solat subuh. Sejurus sahaja solat subuh, kedai-kedai yang berada agak jauh dari MasjidilHaram akan menutup kaunter dan akan membukanya kembali selepas asar. Waktu pejabat, kelas dan perkhidmatan-perkhidmatan lain di bulan Ramadhan bermula dari jam 10 pagi sehingga selepas asar. Oleh itu, jangan terkejut jika anda ke bank pada jam 9 pagi, pintu bank masih lagi tertutup!

Jika di Malaysia, kita akan dihiburkan dengan rancangan televisyen yang pelbagai termasuk banyak rancangan yang berunsurkan keagamaan. Tidak ketinggalan juga di Saudi, Makkah khususnya. Pelbagai rancangan yang berkonsepkan pengajaran, pemantapan kerohanian dan sebagainya akan ditayangkan bersempena dengan bulan Ramadhan. Namun rancangan yang paling digemari ramai adalah tele-komedi 'tash ma tash'. Rancangan komedi yang hanya ditayangkan selepas waktu berbuka ini banyak menyindir kehidupan masyarakat Saudi sehingga pernah hampir diharamkan. Namun, rancangan itu tetap menjadi permintaan tertinggi di seluruh Saudi.

Sebanyak 6500 orang askar tambahan telah didatangkan dari pelbagai daerah dari dalam Saudi. Mereka merupakan anggota yang terlatih untuk melicinkan pergerakan jalanraya di sekitar MasjidilHaram yang amat sesak dengan manusia dan kenderaan. Setiap 10 meter akan diletakkan seorang askar bagi menghalang mana-mana kenderaan dari memarkir sekaligus menghalang laluan kenderaan lain. Punca utama kepada kesesakan tidak lain dan tidak bukan adalah kerana kebanyakan 'prebet sapu' yang berlumba-lumba mengambil jemaah yang baru pulang dari MasjidilHaram.

Menjelang 10 akhir dari bulan Ramadhan, manusia akan berduyun-duyun memenuhi masjid dan sebahagian dari mereka akan beritikaf di dalam masjid untuk tempoh 10 hari mengikut sunnah Rasulullah S.A.W. Mereka tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan sebesar-besarnya ganjaran di bulan Ramadhan dan paling istimewa jika mendapat malam yang padanya kebaikan melebihi seribu bulan iaitu malam LailatulQadr. Bukan tiada yang pergi membeli-belah untuk keperluan raya, namun sangat minoriti oleh kerana kesedaran yang telah ditanamkan di dalam jiwa masing-masing terhadap fadhilat bulan Ramadhan yang hanya datang sekali setahun. Iklan raya tidak akan berkumandang sehinggalah tibanya 1 Syawal nanti. Budaya ini bagi saya perlu kita contohi untuk membuatkan Ramadhan adalah bulan Ibadah dan bukannya bulan untuk membeli-belah.


Mohd Lutfi Lokman,
Pelajar tahun akhir,
Pengajian Islam,
Jabatan Syariah,
Universiti Umm Al-Qura,
Makkah Al-Mukarramah.

No comments:

Disclaimer

Disclaimer
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan pendirian rasmi pengendali laman ini dan DPPKS (Dewan Pemuda Pas Kawasan Serdang) melainkan dinyatakan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...